Ketakutan pagi

Siang tadi buat pertama kalinya saya merasakan ketakutan yang dingin, yang sudah lama saya tidak rasakan. Ketika itu saya sedang membaca artikel How to Write Horror Fiction sambil berbaring melintang dari tilam, melunjurkan kaki ke muka pintu bilik. Kemudian saya terdengar desisan nipis sebelum ngeong ibu kucing saya, ia berlaku di hujung kaki saya. Saya terus mengangkat kepala dan ketika serta merta bangun, terkejut. Seekor tedung hitam, kembang kepalanya berdesis memandang saya. Si ibu kucing mengutik-ngutikkan kakinya ke ular itu. Ular itu mengundur lalu masuk ke bilik sebelah. Ada rasa ketakutan yang lain daripada biasa. Ini bukan kali pertama saya serempak ular. Beberapa bulan lepas ketika membuka pintu pagar untuk ke tempat kerja saya terjumpa seekor, hitam begini juga. Awal tahun lepas ketika saya membawa lembu saya merenggut rumput di pinggir hutan saya berjumpa ular begini juga. Mungkin sebab ruang yang sempit. Mungkin sebab ular itu menampakkan wajah bengisnya yang ketara. Atau mungkin sebab ular itu sudah dalam rumah saya, menjajahnya dengan amaran bisanya. Saya katup pintu, peluh jani merinik di dahi. Di luar, ibu kucing mengiau.

Saya menarik nafas dan membuka pintu, mencapai kayu hoki yang tersandar. Ibu kucing dan dua ekor anaknya di bilik sebelah, mengintai-ngintai si tedung yang berlingkar berhampiran rak. Rasa berani kembali semula. Ini rumah aku, keluarlah ular, kata saya. Saya menghentak-hentak kayu hoki berhampiran ular itu. Ia berdesis, menegakkan kepalanya dan kembangnya. Keluar kata saya. Tapi ular itu tak apa-apa. Kucing2 saya pun tidak berani nak menyerang. Hendak saja saya katuk ular itu sampai mati. Tapi sejak saya menjadi vegan dan kerap menonton dokumentari pasal haiwan, saya berasa kasihan. Ular ini cuma nak santai saja agaknya. Mak nenek atok dan pakcik saya sudah tahu ada ular. Biar pakcik kamu masuk dan bunuh saja ya? Kata makcik saya. Saya serba salah. Kalau boleh saya nak ular itu keluar tanpa diapa-apakan. Tapi ular itu tak peduli dengan kayu saya. Pakcik saya masuk, membawa cangkul. Ular itu tengah saling melawan bunyi dengan anak kucing saya. Pakcik saya hentak ular itu terkena badannya, terburai sikit perutnya. Dia terguling tapi masih angkat kepala berdesis dan kembang. Pakcik saya hentak lagi dan lagi sampai darah terpercik dan lendir daripada perutnya yang pecah melumuri lantai bilik. Bangkai ular itu dibawa keluar dan ditanam segera.

Tinggal di pinggir hutan, tidak mengejutkan untuk bertemu haiwan liar cuma kita tak dapat nak jangka bila ia berlaku dan bagaimana ia bertindak balas dengan kita. Terima kasih ibu kucing, kalau dia tak ada ketika itu, aku rasa ular tu dah masuk ke bilik saya dan mungkin mematuk saya yang sedang ralit membaca…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s